
Sylvain Distin gembira di Everton dan ingin bersama kelab untuk selama mana yang boleh.
Pemain pertahanan tengah itu memiliki musim menggembirakan dengan 33 penampilan untuk the Toffees dan dianugerahkan Pemain Terbaik Musim Pilihan Pemain 2011-12 dan tidak terasa mahu meninggalkan Merseyside, menegaskan telah pun bersiap-sedia untuk musim hadapan.
"Saya mahu terus bermain selama mana saya mampu. Saya tak perlukan dorongan. Tak kiralah apa yang berlaku, anda boleh berasa pasti saya akan di sini esok hari," kata Distin.
"Saya tak perlu sebarang dorongan untuk musim hadapan," katanya. "Saya sayangkan kerja saya dan saya tahu betapa bertuahnya saya dapat memiliki kerja sebegini."
Satu-satunya kekesalan dalam rekod Distin musim ini adalah kesilapan dilakukannya di separuh akhir Piala FA di Wembley menentang musuh setempat Liverpool. Ia membawa kepada kekalahan mereka dan membuatkan pemain Perancis itu gagal menambah trofi utamanya selepas Piala FA 2008 bersama Portsmouth.
Pemain Perancis itu kini telah bermain dalam 11 musim Liga Perdana Inggeris, melakukan 377 penampilan liga. Musim lepas beliau membentuk gandingan mantap bersama pemain antarabangsa England, Phil Jagielka dan memuji skuad pemain sedia ada di Goodison Park.
Beliau menambah: "Ia skuad yang bagus di sini dengan persekitaran hebat. Saya rasa cukup selesa dengan para pemain jadi ia menggembirakan."