
Claudio Marchisio merasakan bahawa kerja keras Juventus sepanjang musim mula membuahkan hasil apabila tahap kecergasan pasukan yang mengagumkan telah sekali lagi memberikan mereka kelebihan musim ini.
The Bianconeri menewaskan Cesena 1-0 malam Rabu lalu hasil gol hujung perlawanan Marco Borriello untuk menjarakkan pasukan tiga mata dari AC Milan di puncak Serie A.
"Kecergasan kami yang cemerlang adalah hasil dari apa yang kami lakukan setiap hari. Mungkin tidak semua dari kami dapat menerima pada mulanya kerana kami sudah biasa dengan kaedah yang berbeza. Tapi kami kini menyedari betapa ia berbaloi dan kami menuai hasilnya," kata Marchisio.
Marchisio kemudian menjelaskan walaupun pasukannya di puncak liga, mereka tidak boleh memandang rendah mana-mana lawannya.
"Perlawanan menentang Cesena menunjukkan bahawa anda tidak boleh sama sekali memandang rendah mana-mana pasukan," katanya. "Perlawanan menentang Roma nampak sukar namun kami berjaya mengenepikan mereka setengah jam sebelum perlawanan berakhir. Perlawanan Rabu lepas seharusnya nampak mudah, sekurang-kurangnya di atas kertas dan kami lebih bergelut.
"Tapi kami masih yang pertama dan kini kami akan mengekalkan kekuatan kami untuk satu lagi perlawanan di atas padang tiruan, padang yang menyerap tenaga anda."
Juventus menyambung aksi Serie A hari Ahad ini apabila berkunjung ke Novara.