6/19/2013 
Thursday, February 16, 2012

Laporan Live Viewing di D'Stall Corner, Kelana Jaya

Hadiah utama dimenangi penyokong Manchester United!
Bersempena dengan perlawanan Liga Perdana Inggeris di antara Manchester United dan Liverpool pada 11 Februari lepas, bertempat di restoran D’Stall Corner, Kelana Jaya, telah diadakan satu acara Live Viewing anjuran Liverbird dan dimeriahkan bersama kumpulan penyokong undangan, Malaysia Red Devils. Acara ini mendapat kerjasama sepenuhnya dari Wisel! Majalah Bola Sepak Terunggul serta menjadi sebahagian kandungan siaran program televisyen terbaru terbitan TV9, Kaki Bola.
 
Penganjuran yang bermatlamat menghimpunkan kumpulan penyokong dua kelab bola sepak gergasi Inggeris  di Malaysia ini telah berjaya menarik kehadiran lebih dari 1200 pengunjung. Antara tetamu khusus yang dijemput termasuklah pengacara program Kaki Bola itu sendiri, Seelan Paul dan Kieran. Tidak ketinggalan artis tempatan seperti Damien Mikhail VE dan Danny X-Factor.  
 
Pengunjung yang mula memenuhi kawasan acara seawal pukul 6 petang untuk menyaksikan perlawanan di layar gergasi yang disediakan serta skrin televisyen turut berpeluang memenangi hadiah menerusi acara  cabutan bertuah serta teka keputusan gol dengan hadiah terdiri dari jersi, maffla serta trofi. 
  
Kerancakan perlawanan yang berlangsung semakin dirasakan pada rehat separuh masa apabila pengacara program Kaki Bola, Seelan Paul dan Kieran menyampaikan kata-kata aluan serta menyampaikan hadiah kepada pengunjung bertuah yang memenangi cabutan bertuah.  
 
Usai perlawanan, pengunjung dikejutkan lagi dengan cabutan bertuah sesi kedua yang kali diselaraskan oleh Comitte Liverbird.  
 
Kehangatan pertembungan di antara kedua-dua pasukan di layar skrin begitu dirasakan di kalangan pengunjung apabila kedua-dua penyokong saling berbalas sorakan dan laungan. Suasana menjadi riuh-rendah apabila pasukan masing-masing berbalas serangan dan sorakan gol bergema apabila gol-gol dijaringkan. 
Acara Live Viewing ini akhirnya melabuhkan tirai pukul 12 malam dengan sasaran memeriahkan sambil membudayakan bola sepak di kalangan peminat bola sepak Malaysia amnya dan bola sepak Liga Perdana Inggeris secara khususnya dianggap telah mencapai matlamatnya. 
 
Ucapan setinggi penghargaan dan tahniah untuk ahli jawatankuasa penganjuran yang terdiri dari Comitte Liverbird, TV9 kerana kesudian membuat liputan dengan kehadiran pengacara program Kaki Bola, Seelan Paul dan Kieran Marcello, D’Stall Corner selaku penyedia lokasi, penaja utama acara Wisel!, penaja-penaja lain berserta pengunjung yang hadir dan memeriahkan acara.
 
Penyokong Manchester United.   
 
Penyokong tegar Liverpool.
 
Pengacara program Kaki Bola, Seelan Paul (kiri) dan Kieran (kanan).
 
Menang atau kalah bukan ukuran, kemeriahan dan persahabatan diutamakan.