Guardiola mahu anak buahnya bangkit semula.
Pengurus Barcelona Pep Guardiola menegaskan kelab gergasi Catalan itu akan bangkit dan bersedia melayan kunjungan Chelsea malam ini.
Guardiola akur menyerahkan kejuaraan Primera Division kepada musuh ketatnya, Real Madrid selepas kekalahan 2-1 dalam pertemuan ‘El Clasico’ di Nou Camp Sabtu lalu yang telah membuatkan mereka ketinggalan tujuh mata dengan Real.
Mereka kini mengalu-alukan ketibaan Chelsea untuk mengubah defisit kekalahan 1-0 di perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-juara di Stamford Bridge minggu lepas dan berazam mempertahankan kejuaraan Eropah yang dimenangi musim lalu selepas kegagalan melakukannya di La Liga.
Guardiola memberitahu: 'Kita akan lihat Selasa nanti [malam ini] sama ada kami akan lepas ujian ini tapi saya fikir (pemain) akan mendorong diri sendiri dan menganalisis tentang bagaimana keadaannya untuk menentang Chelsea.
"Apa yang berlaku menentang Chelsea akan menjadi petunjuk tentang keseluruhan musim kami. Walaupun pemain tiada waktu yang panjang untuk pulih kembali, mereka pernah mengalami kekecewaan sebegini sebelum ini dan bangun untuk memikul cabaran." |