Andre Villas-Boas pastikan tiga mata pertama selaku bos Tottenham.
Pengurus Tottenham, Andre Villas-Boas memuji Jermain Defoe selepas striker itu menjaringkan gol menentang Reading bagi membantu bos warga Portugal memastikan kemenangan pertamanya.
Villas-Boas meninggalkan Madejski dengan senyum lebar selepas menonton pasukannya menang mudah 3-1. Arkitek bagi kemenangan adalah Defoe. Pemain berusia 29 tahun itu menyempurnakan hantaran silang Kyle Walker untuk meletakkan Spurs di hadapan dan menambah satu lagi gol pada babak kedua.
Masa depan Defoe di White Hart Lane diragui musim panas ini selepas kelab mencari striker baru, namun bekas pemain West Ham itu kini telah menjaringkan lima gol untuk kelab dan negara setakat musim ini.
"Saya amat gembira untuknya," kata Villas-Boas. "Dia striker prolifik untuk kelab dan negara. Amat mengagumkan bagaimana dia menghidu peluang jaringannya dan cipta sebahagian daripadanya."
"Saya tahu ada persoalan dibangkitkan mengenai dia bermain berseorangan di atas. Sendirian atau dengan Emmanuel Adebayor, saya rasa Jermain boleh terus hasilkan jenis peluang serangan seperti itu."
"Dia ada keyakinan selaku striker dan kami amat bersyukur kerana dapat menggunakan keyakinannya pada masa ini." |