Bacary Sagna kecewa melihat Alex Song dijual
Pengurus Arsenal, Arsene Wenger berkata beliau yakin Bacary Sagna komited dengan kelab meskipun komen terbaru menunjukkan rasa tidak puas hatinya dengan polisi perpindahan the Gunners.
Minggu lepas, pemain pertahanan ini memberitahu beliau terkejut dengan keputusan kelab untuk menjual Alex Song kepada Barcelona dan berkata: "Kami menjangkakan Robin Van Persie pergi tapi bukan Alex Song ... ia satu kejutan.
"Ia satu kehilangan besar untuk kelab. Apabila anda melihat dua pemain terbaik dari musim lepas pergi, anda banyak bertanya soalan. Saya faham bahawa peminat kecewa. Saya, seperti mereka, juga tidak berapa memahaminya.
"[Song] berusia 24 tahun dan masih ada tiga tahun lagi dalam kontraknya. Saya langsung tak faham. Anda kembali dari percutian, anda sedang bersiap-sedia, anda melihat dua pemain meninggalkan kelab ... ia telah menjadi begitu sejak saya berada di kelab. Saya telah biasa dengannya."
Namun Wenger menegaskan Sagna, yang sedang meneruskan proses pemulihannya dari kecederaan patah kaki, tidak akan mengikuti jejak langkah Song dan Van Persie meninggalkan the Emirates dan berkata: "Temuramah Bacary tidak melambangkan kasih sayang yang beliau ada untuk kelab ini.
"Dia sentiasa memberikan komitmen penuh. Bacary menyayangi kelab dan saya fikir dia akan kekal di sini." |