Florent Malouda terpinggir di Stamford Bridge.
Pemain sayap Perancis, Florent Malouda bakal menamatkan mimpi ngeri di Chelsea dengan bekas kelab, Lyon sanggup untuk membawanya kembali.
Malouda, 32, kini berlatih dengan skuad bawah-21 Blues, selepas dianggap pemain lebihan di Stamford Bridge.
Bekas pemain Lyon, yang beralih ke Chelsea pada 2007, diketepikan daripada skuad Liga Juara-juara kelab oleh pengurus Roberto Di Matteo, dan diberitahu yang dia boleh meninggalkan Barat London, namun gagal mempersetujui perpindahan sebelum penutupan jendela.
Walaupun terpinggir di Chelsea, Presiden Lyon, Jean-Michel Aulas mungkin bersedia memberi peluang kepada pemain antarabangsa Perancis itu di Stade Gerlard.
"Pintu kami sentiasa terbuka kepada bekas pemain," kata Aulas. "Malouda sentiasa berhubung dengan pasukan jurulatih kami baru-baru ini. Kami juga telah bercakap dengan Jeremy Toulalan yang bermasalah di Malaga." |