Jovetic... Bintang sensasi Montenegro.
Dejan Savicevic percaya penyerang Fiorentina, Stevan Jovetic boleh menjadi pembelian baik buat Juventus.
Bianconeri telahpun baru-baru ini dikaitkan – di samping Tottenham dan Arsenal – dengan perpindahan buat pemain kebangsaan Montenegro tersebut dan Savicevic berasa Jovetic mampu membentuk gandingan serangan ampuh bersama rakan senegara, Mirko Vucinic.
"Saya dah dengar tentang khabar angin tersebut dan saya sokong perpindahan seperti itu. Dia bentuk gandingan mantap bersama Vucinic dalam pasukan kebangsaan," kata bekas bintang AC Milan itu.
"Stevan telahpun tunjukkan yang dia seorang pemain hebat selagi dia kekal cergas sepenuhnya. Cuma lihat bagaimana dia beraksi lawan Bayern Munich dan Liverpool di masa lalu."
"Jovetic sendiri tahu samada dia mahu tinggal atau kekal di Fiorentina. Saya tak mahu cipta kontroversi, namun Juve boleh tawarkannya bola sepak Liga Juara-juara dan peluang untuk rebut Scudetto. Itu tak mungkin dengan Fiorentina."
Pemain berusia 22 tahun itu mempunyai kontrak bersama Viola yang berjalan sehingga Jun 2016. |